Masjid Rotterdam yang menginsafkan
![]()
Hujan renyai-renyai turun membasahi kami dalam perjalanan pergi ke sebuah masjid bagi menunaikan solat zohor di bumi Rotterdam. Memang sukar untuk temui masjid disini, namun kami terpaksa berjalan hampir 5km dari Universiti Islam Rotterdam ke masjid yang terletak di pinggiran Bandar Rotterdam. Alhamdulillah, kami tiba juga di perkarangan masjid Rotterdam. Banggunan masjid yang tersergam indah ini tidak sebesar masjid Nilai namun ianya sangat unik. Tiba sahaja di masjid ini, kami disambut oleh para jemaah dengan begitu mesra sekali.
![]()
bersama dengan sahabat Muhammad Umar (Sukarelawan Masjid)
Ada apa dengan masjid ini ? Mungkin anda tidak pernah terfikir bahawa di dalam sebuah masjid akan ada beberapa meja snuker atau pusat cyber café. Inilah keunikkan dalam masjid ini. Masjid ini mempunyai 3 tingkat, tingkat 1 masjid adalah ruang solat lelaki, tingkat 2 pula memuatkan jemaah perempuan untuk solat dan bahagian bawah masjid merupakan tempat istirehat para jemaah. Tempat istirehat ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti permainan snuker, pusat internet, perpustakaan dan cafeteria sebagai tempat para jemaah berbual sambil menunggu azan berkumandang. Mungkin ini adalah strategi untuk menarik para remaja dan masyarakat islam untuk dekat dengan Masjid. Ternyata ramai daripada para remaja dating ke Masjid ini untuk solat dan meluangkan masa lapang mereka. Lantas saya terfikir alangkah baiknya Masjid kita di Malaysia dihidupkan dalam suasana mesra jemaah serta dijadikan “One Stop Center” untuk para jemaah singgah untuk solat.
![]()
Tempat Muazzin untuk melaungkan azan
Seperkara lagi yang membuatkan saya kagum ialah insan yang bernama Muhammad Umar yang berumur 25 tahun iaitu seorang sukarelawan yang bekerja sebagai “Tok Siak” di Masjid ini. Beliau dilahirkan di Maghribi tetapi sudah lama tinggal di Belanda dan juga merupakan penuntut di Universiti Islam Rotterdam. Apabila ada waktu lapang maka beliau akan singgah ke Masjid ini untuk bekerja. MasyaAllah !! Saya mendoakan sahabat saya Umar mendapat lindungan rahmat Allah atas keikhlasannya.
Terakhir dikemaskini (Khamis, 02 Julai 2009 02:20)














