Apa yang Dipilih : Kerja atau Gaji ?
[/caption] TAHNIAH kepada mereka yang sudah menamatkan pengajian masing-masing di IPT. Mungkin sekarang ini sibuk membuka laman web, membeli surat khabar dan menghantar seberapa banyak resume kepada syarikat-syarikat terpilih. Itu suasana biasa bagi "fresh graduate". Ada beberapa orang telah menghubungi saya bertanyakan kerja kosong. Saya pun mencadangkan beberapa tempat dan kerja kosong yang saya ketahui.
Tempat ini ada jawatan kosong. Kerja begini............. Gaji pula sebanyak ini ........... Kalau berminat hantar resume dengan segera.
Aku tak retila nak kerja macam ini.....,
Aku tak minatlah......., Carilah yang Ok sikit
Apasal gaji sikit, aku ada digree.....
Ini antara jawapan yang saya terima. saya pun tidak berminat lagi untuk tawarkan kepada orang seperti ini. Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuan Ahmad Fadzli Yusof dalam artikel yang dipetik dari blog beliau www.kuasamotivasi.com apabila berbicara soal budaya mencari pekerjaan. Mungkin kita juga seperti ini.
Memilih Pekerjaan vs Memilih Gaji
Jauh bezanya di antara memilih pekerjaan dengan memilih gaji. Jika seseorang itu ada matlamat jangka panjang, dia sepatutnya memilih pekerjaan yang ada kaitan dengan impiannya itu; tidak kira berapa jumlah bayaran yang dia terima. Masalah ramai penganggur ialah; mereka tiada impian yang besar, tiada impian jangka panjang. Akhirnya, otak mereka tertumpu kepada pekerjaan yang senang, dengan bayaran yang tinggi. Mereka melompat-lompat dari satu industri, ke industri yang lain. Mula-mula operasi perkilangan, lepas itu pengurusan hartanah, lepas itu pemasaran pertanian, dan kemudiannya khidmat pelanggan di bank. Selepas itu dia asyik lompat dan lompat, tanpa membina kredibiliti dalam bidang tertentu.Fokus mereka adalah ‘berapa RM yang masuk dalam akaun setiap hujung bulan’.
Saya pernah mendapat resume daripada seorang pemohon yang mempunyai ‘pengalaman bekerja’ dengan 7 buah organisasi dalam masa dua tahun! Dia menyatakan dengan bangga tentang ‘pengalamannya’ itu, dengan meminta gaji tinggi yang tidak setimpal pun dengan kredibilitinya. Dahlah daripada background jawatan-industri yang berbeza, kerja pula tak sampai dua bulan,kemudian berhenti. Itu bukan pengalaman namanya, itu ‘pendurhakaan kerjaya’. Setelah penat organisasi meluangkan masa dan kos untuk latihan kecekapan, alih-alih dia keluar pula!
Sebaliknya, orang yang mempunyai impian yang besar sepatutnya memohon kerja yang ada kena-mengena dengan impian tersebut. Jikalau dia bercita-cita untuk memiliki rangkaian restoran francais 20 tahun akan datang, maka dia perlu sanggup bekerja sebagai juruwang, pelayan, penyambut tetamu, pencuci pinggan, tukang masak dan bermacam lagi kerja yang berkait dengan industri tersebut; tanpa memberikan pertimbangan yang terlalu besar terhadap berapa gaji yang diperolehi. Pilih pekerjaan, bukan pilih gaji!
Terakhir dikemaskini (Khamis, 02 Julai 2009 02:58)














